Bismillahirrahmaanirrohim
Assalamualaikum Wbr.
Sekarang ini, orang lelaki dah ramai yang suka menghasut dan mengumpat lebih dari perangai orang perempuan. Apabila lelaki mengumpat dan menghasut, tersangatlah buruk kelakunya.
Panglima berpesan kepada diri Panglima sendiri dan tuan puan....agar meninggalkan perbuatan mengumpat, menghasut samada yang sengaja atau tidak disengajakan.
Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Manakala menghasut pula ialah mereka-reka cerita keburukan terhadap seseorang. Mengumpat dan menghasut ini seakan adik beradik. Mula-mula mengumpat ...kemudian ia jadi hasutan.
PERASAAN hasad dengki boleh menyerang
sesiapa saja dan penyakit jiwa itu sangat bahaya kerana bukan saja
boleh merosakkan keperibadian diri, menyebabkan permusuhan dan boleh
mengancam ketenteraman masyarakat. Dengki mendorong seseorang
melakukan kemaksiatan seperti mengumpat, menghasut, memfitnah dan
memburuk-burukkan orang lain.
Benarlah ungkapan Imam Ghazali, bahawa
hasad dengki akan melahirkan sifat tercela yang lain sehingga sukar
diperinci satu persatu. Apabila perasaan dengki menguasai diri, hati
tidak reda menerima qada dan qadar Allah Menyebabkan timbul perasaan
benci melulu terhadap orang lain, kesempurnaan iman memerlukan seseorng
menyayangi saudaranya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak
beriman salah seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa
yang ia cinta untuk dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Penyakit hasad dengki sukar untuk dijauhi selagi mana ada terdetik
perasaan tidak puas hati terhadap orang lain. Penyakit itu sebenarnya
memberi kesan besar kepada mereka yang dikuasai perasaan dengki, bukan
orang yang menjadi mangsa dengki. Bahaya jika dijangkiti rasa dengki
ialah perasaan hasil hasutan syaitan itu boleh menghancurkan segala
kebaikan yang dilakukan selama ini seperti dijelaskan sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: “Hindarilah dengki kerana dengki itu menghancurkan
kebaikan seperti mana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sebabnya ialah perasaan dengki
membawa si pendengki melakukan perkara jahat seperti memfitnah,
menghasut dan memutuskan hubungan orang lain dengan pihak yang di
dengki itu. Perbuatan itu hakikatnya hanya merugikan si pendengki.
Dengki adalah beban yang berat kerana hati sentiasa dipukul
kegelisahan setiap kali melihat orang lain berjaya atau bahagia. Lidah
akan menuturkan kata-kata berupa fitnah, cacian dan memperlekeh.
Bukan itu saja, jiwa menyala perasaan marah, benci, curiga, kecewa dan
kesal. Jiwa semakin terseksa sepanjang masa dan tidak pernah tenang.
Inilah hasil daripada penyakit dengki yang membarah dalam hati. Allah
berfirman yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu
ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih.” (Surah
Al-Baqarah, ayat 10) Sesungguhnya si pendengki tidak pernah mahu
merasai apalagi meraikan kebahagiaan atau kejayaan dikecapi orang lain,
tidak ingin memberi senyuman apalagi menghulurkan ucapan tahniah.
Jauh sekali untuk mengeluarkan tenaga membantu atau mendorong saudara
lain supaya terus memperoleh kejayaan dalam hidup. Dengan itu,
tergambar pada dirinya sedikit demi sedikit menyeleweng daripada watak
keislaman seperti melenyapkan nilai agama yang suci pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjalar kepada kalian penyakit
umat (terdahulu), kedengkian dan kebencian. Itulah penyakit yang akan
mencukur gondol. Aku tidak mengatakan bahawa penyakit itu mencukur
rambut melainkan mencukur agama.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Dengki
adalah ciri orang munafik dan digambarkan mereka ini dalam al-Quran
kerana sikap suka memperkecilkan niat pihak yang ingin membuat
kebaikan. Ketika umat Islam ingin memberi infak dalam jumlah besar,
dikatakan mereka riak dan apabila jumlah infak itu kecil, dikatakan
Allah tidak memerlukan sumbangan yang kecil. Maka, turunlah firman
Allah yang bermaksud: “(Orang munafik itu) iaitu orang yang mencela
orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang
yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar
kesanggupannya. Maka orang munafik itu menghina mereka. Allah akan
membalas penghinaan mereka itu dan untuk mereka azab yang pedih.”
(Surah At-Taubah, ayat 79)
Oleh itu, umat Islam yang ingin maju dan
mendapat keredaan-Nya, haruslah berusaha bersungguh-sungguh
menghindari sifat dengki serta menghayati ajaran Islam dengan penuh
keimanan.( sumber : Mohd Adid Ab. Rahman, Berita Harian, 06 Julai 2010 )
Panglima7.
Semoga Allah memberi kesabaran ke atas mereka yang kena umpat dan kena hasut dari tipu daya Manusia, Iblis dan syaitan.
Read more...