Pensyarah, bapanya mungkin dibunuh orang dalam
Bismillahirrahmaanirrohimm.
Assalamualaikum Wbr.
Terkejut benar Panglima bila membelek akhbar hari ini......bila membaca Omar Peter Abdullah mati dibunuh bersama-sama dengan anaknya Zara Eleena Omar di rumahnya di Taman Kinrara Puchong.
Allahyarham gambar kecil diatas merupakan ex-officemate Panglima yang dahulu sama-sama bekerja di Sony TV di Bdr Baru Bangi sekitar tahun 1994-1997, Allahyarham bekerja di Jabatan Finance manakala Panglima di Jabatan GA-(General Affairs - Human Resources) dan office kami hanya bersebelahan cuma dipisahkan dengan deretan kabinet file setinggi pinggang.Innalillahi wa inna ilaihi rojiuunn.
Beliau seorang yang sangat ramah dan baik. Kadang-kadang sarapan semeja. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya dan anaknya. Dan moga Allah membalas kejahatan yang dilakukan oleh pembunuhnya.
Panglima7
Semoga Allahyarham dan juga anaknya mendapat pembelaan.
Pensyarah, bapanya mungkin dibunuh orang dalam
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
KUALA LUMPUR -- Kes pembunuhan dua beranak melibatkan seorang pensyarah dan bapanya yang mayat mereka ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi, berkemungkinan dilakukan oleh 'orang
dalam'.
Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, polis belum menemui kesan kecederaan seperti kesan tikaman dan kesan pergelutan atau mangsa diserang dengan objek tajam.
Abd Razak berkata mangsa Zara Eleena Omar Peter, 23, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam tadi.
Beliau berkata hanya kesan pendarahan dalaman yang dipercayai menyebabkan darah terkeluar daripada mulut pensyarah wanita itu, manakala kesan darah juga ditemui pada bapa wanita itu.
"Kita sudah hantar kedua-dua mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kita masih menunggu laporan forensik untuk mengesahkan sama ada mangsa diracun atau dibunuh dengan cara lain," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan rumah mangsa disamun dan dipecah masuk.
Kedua-dua mangsa dipercayai mati sejak empat hari lepas di mana mayat Zara Eleena ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan kesan darah di mulut, manakala mayat bapanya ditemui tertiarap di katil dengan beberapa kesan darah ditemui di rumah mereka.
Menurut saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata Zara dan bapanya merupakan seorang yang peramah dengan saudara-mara dan tidak mempunyai masalah dengan orang lain.
"Saya selalu melawat Zara, sebab dia tinggal seorang diri di rumahnya dan saya dapati dia tidak mempunyai sebarang masalah...saya difahamkan sebelum kejadian ini Zara ada menelefon bapanya mengatakan beliau mengalami sakit perut lalu bapanya datang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya itu dan dari situ tiada khabar berita mengenai mereka," katanya ketika ditemui di HKL.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Bernama
Read more...