Assalamualaikum Wbr.
Kita tidak dapat lari dari kematian Kisah ini berlaku semasa zaman Nabi Sulaiman a.s. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman bin Daud a.s mengadakan sebuah majlis keramaian dan menjemput semua rakyat baginda untuk menghadiri majlis itu. Ketika majlis itu sedang berlangsung, terdapat seorang pemuda yang sedang mengambil makanan. Tiba-tiba dia terperasan yang seseorang yang tidak dikenali sedang merenungnya dengan pandangan yang begitu tajam sekali. Pemuda itu menjadi begitu risau dan hilang selera makannya. Ketika hendak pulang ke rumah, pemuda tersebut disapa oleh tuan rumah; iaitu Nabi Sulaiman a.s. Lalu dia pun menceritakan kisahnya bertemu dengan seseorang yang memandang tajam terhadapnya. Lalu Nabi Sulaiman dengan tenang mengatakan bahawa itu adalah malaikat Izrail. Pemuda itu dapat merasakan bahawasanya Malaikat Maut telah datang untuk mencabut nyawanya. Lalu dia meminta Nabi Sulaiman agar menghantarnya ke sebuah pulau yang jauh lagi tidak berpenghuni dan tidak diketahui oleh seorang pun, dengan harapan Malaikat Maut tidak dapat mencarinya. Maka Nabi Sulaiman dengan kemampuannya telah mengarahkan angin untuk menghantar pemuda tersebut ke pulau yang diminta. Apabila sampai di pulau tersebut, pemuda itu begitu gembira kerana telah berjaya lari daripada maut. Tetapi, ketika mana dia menoleh ke belakang, dia terkejut besar apabila mendapati Malaikat Maut telah tercegat di belakangnya! Dengan perasaan berputus asa, dia bertanya kepada Malaikat Izrail mengapakah dia merenungnya tajam ketika dalam majlis Nabi Sulaiman. Maka Malaikat Izrail menjawab, sebelum dia berjumpa dengan pemuda itu di dalam majlis tersebut, Malaikat Izrail telah mendapat perintah daripada Allah ‘azza wa jalla untuk mencabut nyawa pemuda itu di sebuah pulau yang jauh dan tidak berpenghuni, iaitu di pulau yang sedang mereka berdiri ketika itu. Apabila dia bertemu dengannya dalam majlis tersebut, Malaikat Izrail menjadi begitu hairan kerana pemuda itu berada di majlis tersebut sedangkan dia ( Izrail ) dititahkan untuk mencabut nyawanya di sebuah tempat yang begitu jauh daripada tempat majlis itu berlangsung dalam masa beberapa minit lagi. Malaikat Izrail tertanya-tanya bagaimana mungkin pemuda itu dapat pergi ke tempat yang begitu jauh dalam masa yang cukup singkat. Namun, apabila Malaikat Izrail sampai di pulau di mana dia perlu mencabut nyawa pemuda itu, didapati pemuda tersebut telah berada di pulau itu. Maka mudahlah kerjanya. Barulah pemuda iu sedar bahawasanya Allah s. w. t. itu Maha Berkuasa dan maut itu akan merenggut kita di mana jua kita berada. Panglima7 Semua makhluk akan merasai mati. Justeru itu jangan terlalu bersedih akan kematian. Kerana kita juga bakal menghadapinya dan ianya memang PASTI... |
No comments:
Post a Comment