Assalamualaikum Wbr.
Salam peperangan Siffin, Khalifah Ali Bin Abi Talib telah kehilangan baju besinya. Selang beberapa hari kemudian Ali r.a. telah melihat baju besinya dimiliki oleh seorang Yahudi, Ali r.a. menghampiri orang Yahudi itu dan berkata, "Baju yang ada padamu itu adalah hak aku, aku tidak pernah menjualnya atau memberikan kepada sesiapa pun."
Berkata orang Yahudi itu, "Tidak, baju ini adalah milikku dari dulu."
Ali r.a dan orang Yahudi itu tetap mempertahankan hak masing-masing. Akhirnya kedua mereka bersetuju untuk menemui hakim Syuraih untuk menyelesaikan masalah mereka. Apabila berada di hadapan hakim, maka berhujahlah Ali r.a untuk mempertahankan haknya dan begitu juga dengan orang Yahudi itu.
Berkata Ali r.a., "Yang Arif, baju besi yang ada pada orang Yahudi itu milik saya sejak dari dulu lagi."
Berkata Hakim Syuraih kepada orang Yahudi, "Ali mengatakan baju yang ada padamu itu adalah miliknya, apa hujahmu?"
Berkata orang Yahudi, "Tidak, baju ini adalah milik saya."
Berkata Hakim Syuraih kepada Ali r.a., "Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti yang mengatakan baju itu milik Amirul Mukminin?"
Berkata Ali r.a., "Ada, saya ada dua orang anak yakni Hasan dan Husin. Mereka memang tahu benar tentang baju besiku."
Berkata Hakim Syuraih, "Kesaksian anak sendiri terhadap ayahnya tidak boleh diterima sebagai bukti menurut hukum."
Berkata hakim itu lagi, "Oleh kerana Amirul Mukminin tidak dapat mengemukakan dua orang saksi yang sah, maka aku memutuskan bahawa baju besi ini adalah milik orang yang memegangnya sekarang yakni orang Yahudi ini."
Kemudian hakim menutup perbicaraan. Walaupun Ali r.a. seorang Amirul Mukminin yang membolehkan dia mengambil tindakan, atau mengenakan tekanan terhadap hakim untuk memenangkannya, tetapi beliau tidak mengambil jalan itu. Sebaliknya, beliau patuh pada keputusan Mahkamah.
Orang Yahudi itu merasa hairan dengan sikap Ali r.a. yang mana beliau sebagai Amirul Mukminin patuh pada keputusan mahkamah, dan orang Yahudi itu juga hairan dengan sikap hakim yang bertindak menurut yang hak.
Oleh sebab sangat terharu mengenangkan cara keputusan mahkamah yang mengikut cara yang dikehendaki oleh Islam, maka orang Yahudi itu berkata kepada Ali r.a. dan Hakim Syuraih, "Aku bersaksi bahawa Islam adalah agama benar dan adil."
Kemudian pada saat itu juga orang Yahudi itu memeluk agama Islam dan mengembalikan baju besi kepunyaan Sayidina Ali r.a.
Rasulullah telah bersabda, "Hakim itu ada tiga golongan, satu golongan masuk syurga dan dua golongan masuk neraka. Golongan yang masuk syurga ialah hakim yang mengetahui kebenaran, lalu dia memutuskan dengan benar maka dia masuk syurga. Hakim yang tahu kebenaran, tetapi dia dengan sengaja buat tidak tahu, maka dia masuk neraka. dan seorang hakim yang memutuskan perkara tanpa ilmu, maka ia masuk neraka."
Dalam Surah Al-Nahl ayat 90, Allah S.W.T berfirman yag bermaksud, " Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan serta memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu mengambil pelajaran."
Panglima7
Semoga menjadi suri tauladan kepada Hakim-Hakim di Tanahair kita untuk berlaku adil dan tidak menerima apa-apa suapan dan pangkat dari pihak penguasa negara. Di dunia engkau dapat pangkat, di akhirat engkau dapat Neraka yang tidak terperi sakitnya. Janganlah kerana habuan yang sedikit itu...dirimu kekal dalam neraka Allah selama-lamanya...kekal dan abadi.
2 comments:
as'salammualaikum panglima..
amy datang menziarah sebelum esok kembali bertugas di luar kawasan...
Panglima...
Kenapakah orang sekarang dah tak takut pada dosa????
Post a Comment