Pengikut-Pengikut Panglima7


Kalendar Islam

Jul 19, 2011

Dr Lo' Lo' Sekadar Yang Saya Kenali - Prof Dr Asri - Bekas Mufti Perlis

Assalamualaikum Wbr.

Setiap yang hidup pasti akan mati.  

Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya segala kerajaan, dan Dia (Allah) Maha Berkuasa atas segala sesuatu.     Dialah yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Surah Al-Mulk ayat 1-2.


Panglima7

************************************


Al-Fatihah Buat Allahyarhamah Dr. Lo'Lo', Semoga Allah 
mencucuri rahmat ke atas Ruhnya. aaminn.


Dr. Lo'Lo' sekadar yang saya kenali - Prof Dr Asri

18 JULAI — Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan
hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis
pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan,
pasti ada tarikh perhentiannya.

Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.
 Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada
sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada
pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali,
perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau
kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya
teringat  permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya
menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur.


Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata
saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal.
Padahal, saya telah sebut “insyaAllah”. Hari ini jenazah beliau
dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana
ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya
mendengar kematiannya.

Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang
lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa
kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada
Lo’Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit
 yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati
 kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji
saudaranya, maka hendaklah dia berkata: “aku menilainya demikian,
 Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan
memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa
yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang
 ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu.
Demikian juga sebaliknya.

Peringatan jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’Lo’. Cuma ada beberapa coretan
 sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’Lo’
sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri
beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA,
semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’Lo’
 menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan
tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan
 pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut “..saya juga seorang manusia yang
dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup
sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran
 seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal
 kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan
 majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah,
bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang
kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan
 yang tidak selaras dengan Islam.

Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita
30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti
kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu
untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas
terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya
merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca
 sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung
 dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan,
apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata
nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau.
 Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau
 rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin Umno.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya
terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik
dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal
Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan
keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak
dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap
baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya
ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs
yang hadir. Dr Lo’Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke
mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau.
Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: “Ini ada hikmahnya, ujian
dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan,
bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang
sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat
disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu,
agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk Umno

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai
isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka
dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara
 dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk Umno,
Dr Lo’Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau: “Janganlah
 ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini.
Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk Umno.
Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu.

Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.
Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir
lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap
langkah.

Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin
kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: “mati hidup
 semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk Umno.
Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan
kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk Umno? Jika
ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk Umno”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus
bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa
yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa
pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah
bercakap dengan saya dan memberikan nasihat.

Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk Umno, Dr Lo’lo sekali
lagi berhubung dengan saya dan berkata: “Tergamak ustaz membiarkan
 sahabat-sahabat ustaz masuk Umno, sedangkan saya ini
bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan
manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan
Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini.
 Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk Umno”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau
tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih,
sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan
masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah,
seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama
PR, Dr Lo’Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan
hatinya. Kadang-kala bahasanya “tegas”. Saya sering tersenyum
apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat
sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata
yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan
 pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS
beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel
lama saya “Ulama atau professional Jadi Pemimpin”
(drmaza.com/home/?p=605) . Beliau kata, beliau ingin
meminta supaya Harakah menyiarkannya semula.

Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam
kepimpinan PAS.

Ziarah hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada
dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz.
Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa
orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz.

Dr Lo’lo meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu.
MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam
kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan
bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya.
Beliau menangis ketika itu.

Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:
“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah
yang baik”. Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya
bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi.

Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni,
kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan
kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat-demikian
melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan
Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali
kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus
memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur
segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan
hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi
untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu
akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan
sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran
yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat.
Antara yang beliau kata; “Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz
ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa,
hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok
dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku
kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang
menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau “pendakwah”.
Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya
berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi
habuan selepas kuliah atau ceramah.

Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai
yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata
Dr Lo’Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah).
Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi
dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya.
Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir
pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan
mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai
Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan
yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa
untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian
meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke
destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah ahli akademik
 dan bekas Mufti Perlis

9 comments:

pokku(putrajaya) said...

Sebak ambo baca artikel ni...mohon utk copy sheikh...Takbirrrrr!Alluakhbar3...semoga perjuangan dapat diteruskan...

ika~~ said...

inalillah~
sy pn slalu ikut prkembngan allahyarhamah dr lo' lo'..dlu kecik2 slalu tnye mak "lo' lo' 2 ape?"

Panglima7 said...

Ambillah Pokku....semuanya bukan milik hamba. Bila hamba disebut hamba...tentunya dimiliki oleh tuan. Siapa tuannya...tentunya Allah SWT.
Takbirrr!! Kibarkan perjuangan, semerah perjuangan sahabat dan Rasulullah.

Panglima7 said...

Lo'Lo' tuu...ada maknanya dalam al-Quran. Innalillahi wa inna ilaihirojiuonn.

Kak Amy said...

sedih membaca artikel ini pape pun salam takziah kepada ahli keluarga arwah dan semoga arwah Dr.Lolo di tempatkan di kalngan orang2 yang beriman..amin

orangkampung said...

Salam, mohon izin untuk copy.
Sungguh terharu membacanya.
Kini tugas kita untuk meneruskan perjuangan..

Panglima7 said...

Assalam amy, aaminn. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan org2 yg beriman dan beramal soleh.

Panglima7 said...

Wassalam ummuaimi, dipersilakan tuan, mudah-mudahan dirahmati Allah hendaknya.

kakyongnida said...

semoga beliau ditempatkan di kalangan org2 yang soleh. mak pun selalu cerita pasal beliau.

Related Posts with Thumbnails

Jom Chatting dan Borak Secara Online

http://www.meebo.com/rooms

Pengikut Panglima7 Luar Negara