Salam...
Sesekala....kita baca cerpen pulak....
Nilai Sekeping RM 5.00
Jalan di situ berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut Toyota Vios 1.6 ini dilambung graviti.
Putri yang duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi.
Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur.
Sekejap radio Pahang, sekejap Terengganu mengikut lambungan kereta.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan
yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan
hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar
langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi
salam.Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.
Putri sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar.
Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan tak guna, sopannya cuma didepan
jantan,tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan
berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak,
t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai
seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.
Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut
disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Putri sudah separuh
menggelepar diluar meliar mata mencari Rafik,tunangnya. Aku duduk
sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini.
Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman.
Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar.
Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!
. Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang.
Aku sedikit marah, mengetap bibir.
"Nak apa?!" Dia terketar terkejut, sedikit berundur
" Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.." Dia bercakap
dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut.
Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu.
Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya
yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.
Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!
" Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana
aku nak ajar kau!!" Berkata sambil meliarkan mata pada Putri yang tengah
tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu.
Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik
duduk terkangkang dirumah itu di tutup rapat.
Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin
seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia
menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk,
meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!
Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk- nepuk
belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit.
Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah.
Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,
masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!
" Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas
hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah
cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi,
sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis
tersedu-sedu.Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.
"Kenapa ni? Gila?!"
" Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik
kelapa,mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum
pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya
seringgit."
Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.Timbul pula sedikit
simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati
keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di
dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan
baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan.
Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat.
Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan,
kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit.
Biarlah,kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana .
Lupakan saja..
Putri memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku melayan
meluat- melihat Putri yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu.
Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang.
Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu.
Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi,berlagak seperti fakir. Mungkin..
Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan
rasa curiga bertanya terus. " Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima
ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?".Bunyinya seperti meninggi.
Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur.
Meletakkan dua beg plastik di atas tanah,membukanya satu persatu,perlahan-lahan
dan terketar. Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan
tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
" Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis,
dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula.
Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari
kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat.
Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik.
Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua
sial yang berpura-pura susah. Nah! ambillah semula,nak."
Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak,
berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak
mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.
"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan
sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan
kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan.
Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi.
Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai
kelaparan,jangan mati." Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit
di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung
lalat. Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang
boleh membeli segala kemewahan dunia.Cuma aku belum mampu membeli
sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.
*"jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah utk menyukai apa
yang kita dapat.."
Panglima7
3 comments:
sedihnya kisah ni. mohon dishare ya...
Tuan boleh ambil dan share...ambillah mana-mana pun. Tak perlu minta izin pd hamba. Ianya hak rakyat.
Amir..
Menusuk gak cerpen tadi tu bang..
Post a Comment